Mohamad Fahd Rahmat


Johor Bahru: Seorang bekas penolong pengurus sebuah bank berusia 49 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, atas 24 pertuduhan pecah amanah membabitkan nilai melebihi RM70,000 yang dilakukan sejak Jun lalu hingga awal tahun ini.

Tertuduh, Zarinah Mohd Yusoff didakwa melakukan perbuatan demikian di cawangan AmBank Taman Ungku Tun Aminah Skudai Johor dengan niat memperdaya AmBank Kuala Lumpur dengan membuat tuntutan kewangan palsu.

Tertuduh diwakili peguambela Muhammad Ashraff Mohd Diah, manakala kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya, Siti Asmah Zainal Ariffin.

Majistret Noor Aisyah Ahmad memerintahkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula 8 Ogos ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun atau tidak melebihi 10 tahun atau dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2016 @ 3:09 PM