GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Nurul Amanina Suhaini

SEBANYAK 29 kompaun dikeluarkan ke atas orang ramai susulan kesalahan tidak memakai pelitup muka menerusi 389 pemantauan pematuhan di negeri ini.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kompaun itu merangkumi tiga dikeluarkan di Iskandar Puteri dan 26 pula di Kota Tinggi.

"Mulai 1 Ogos, pemakaian pelitup muka berkuat kuasa kepada orang ramai dalam pengangkutan awam dan di kawasan sesak tumpuan ramai seperti di pasar raya, pasar awam, bank dan taman rekreasi.

"Orang ramai yang dikesan gagal mematuhi arahan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bakal dikenakan kompaun iaitu denda sebanyak RM1,000 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Bagi memastikan SOP PKPP arahan pemakaian pelitup muka dipatuhi orang ramai, Polis Diraja Malaysia Kontinjen Johor akan membuat pemantauan di kawasan tumpuan ramai," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil termasuk melaksanakan tangkapan sekiranya orang ramai masih ingkar dan tidak mematuhi SOP PKPP.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2020 @ 4:59 PM