ORANG ramai memakai pelitup muka di pasar Siti Khadijah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ORANG ramai memakai pelitup muka di pasar Siti Khadijah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hazira Ahmad Zaidi


ORANG ramai termasuk kanak-kanak dilihat sudah mula akur dengan arahan mewajibkan memakai pelitup muka ketika berada di kawasan sesak atau tumpuan orang ramai.

Tinjauan hari kedua NSTP di sekitar Pasar Besar Siti Khadijah dan bandar Kota Bharu mendapati masyarakat sekitar dan perantau yang pulang menyambut Aidiladha mempunyai kesedaran tinggi apabila mereka memakai pelitup muka di kawasan tumpuan ramai.

Peniaga ayam, Zaimah Dollah, 51, berkata, sejak arahan mewajibkan memakai pelitup muka yang dikuatkuasakan semalam, orang ramai yang datang membeli barang keperluan harian di pasar sudah mematuhi arahan berkenaan berbanding sebelum ini.

"Bagi saya, arahan memakai pelitup muka yang dikeluarkan ini amat bertepatan kerana pasar adalah tempat tumpuan orang ramai, namun apa yang menjadi masalah ketika berada di pasar adalah penjarakan fizikal antara pengunjung.

"Walau bagaimanapun, kita masing-masing perlu mengingatkan diri sendiri dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan untuk mengekang penularan wabak Covid-19 meskipun perlu menjalani normal baharu," katanya ketika ditemui di Pasar Besar Siti Khadijah, hari ini.

Manakala, Muhammad Huzaifi Ahmad Zaidi, 22, menyambut baik arahan kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di kawasan tumpuan bagi menyekat penularanpandemik Covid-19.

"Selepas lebih sebulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), saya melihat masyarakat semakin lalai dan mereka juga sudah tidak menitikberatkan penggunaan pelitup muka terutama ketika berada di tempat tumpuan ramai seperti pasaraya, sedangkan negara kita masih lagi berjuang untuk membendung pandemik Covid-19.

"Namun apa yang paling saya kesali ada segelintir yang memakainya dengan cara yang tidak betul seperti meletakkan pada dagu dan leher," katanya.

Sementara itu, Halim Yaacob, 78, berkata, langkah yang diambil amat wajar kerana orang ramai tidak tahu siapa pembawa virus.

"Sebelum ini, setiap kali keluar dari rumah sama ada hendak ke pasar atau mana-mana kawasan tumpuan ramai, saya sentiasa berpesan kepada diri supaya memakai pelitup muka sebagai pelindung kerana selain sudah berusia saya juga mempunyai penyakit asma kronik.

"Walaupun denda RM1,000 yang dikenakan terlalu tinggi dan ada yang beranggapan ia tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan, namun ia sekurang-kurangnya memberi peringatan kepada masyarakat supaya jangan ambil mudah mengenai hal ini," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2020 @ 11:27 AM