GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Roji Kawi

SEBANYAK 46 kenderaan diarah berpatah balik kerana tidak memiliki surat kebenaran polis untuk merentas antara Zon 1 dan Zon 2 dalam sekatan jalan raya di Simunjan dan Sri Aman sejak kelmarin.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, sebanyak 1,834 kenderaan diperiksa ketika melalui dua zon itu.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 1,788 daripadanya mendapat kebenaran untuk bergerak antara dua zon terbabit.

"Sebanyak 46 lagi terpaksa diarah berpatah balik kerana gagal mematuhi ketetapan iaitu mesti memiliki surat kebenaran daripada polis.

"Zon 1 adalah kawasan yang dikategori sebagai Zon Kuning pandemik Covid-19 iaitu Kuching, Samarahan dan Serian manakala Zon Hijau pula ialah Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Kapit, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, polis juga mengeluarkan sebanyak 16 notis kompaun kepada individu yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Notis kompaun itu dikeluarkan di Mukah (5), Bintulu (4), Miri (3), Padawan (2), Sarikei (1) dan Samarahan (1).

"Polis akan terus memperketatkan SOP termasuk pemakaian pelitup muka di tempat awam," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 6:11 PM