RAPID FERRY. FOTO FACEBOOK
RAPID FERRY. FOTO FACEBOOK
Zuhainy Zulkiffli


JADUAL waktu perjalanan feri dari Pangkalan Raja Tun Uda, Georgetown, ke Pangkalan Sultan Abdul Halim, Butterworth, bagi kedua-dua hala akan dijadikan satu waktu saja bermula hari ini hingga 30 Julai.

Perubahan jadual itu berikutan terdapat masalah teknikal pada enjin feri.

Ketua Rapid Ferry Sdn Bhd Osman Amir berkata, pembatalan perjalanan feri itu membabitkan dua waktu pada setiap jam.

Katanya berikutan itu, hanya satu feri saja yang boleh beroperasi daripada Pangkalan Raja Tun Uda ke Pangkalan Sultan Abdul Halim bagi perjalanan pergi dan balik.

"Bagaimanapun, waktu perjalanan akan diumumkan di laman Facebook Rapid Ferry dari masa ke semasa sekiranya terdapat penambahan waktu jadual perjalanan.

"Sehubungan itu, kami ingin memohon maaf atas kesulitan berkenaan, " katanya kepada NSTP, hari ini.

Mengulas lanjut Osman berkata, sebagai operator pengangkutan awam di Pulau Pinang, Rapid Ferry sudah mengambil langkah proaktif dalam memastikan penumpang terus mengamalkan normal baharu bagi mencegah penularan Covid-19.

Malah, pihaknya turut mengambil inisiatif bagi mencuci dan mensanitasi feri setiap kali ia selesai operasi supaya tahap kebersihan berada dalam keadaan paling optimum.

"Setiap penumpang juga diwajibkan supaya memakai pelitup muka, serta mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi.

"Penumpang juga digalakkan supaya terus membuat kawalan kendiri dengan mengekalkan jarak sosial yang selamat dengan tidak bersentuhan antara satu sama lain.

" Langkah ini penting bagi memastikan keyakinan dan keselesaan penumpang bagi menggunakan perkhidmatan feri," katanya kepada NSTP, hari ini.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut, boleh hubungi Rapid Ferry di laman Facebook @rapid ferry.

Perkhidmatan pengangkutan awam termasuk feri dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh sejak 11 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2020 @ 5:43 PM