Nurul Hidayah Bahaudin


PESARA guru wanita mengalami kerugian RM1.06 juta selepas menjadi mangsa penipuan 'Macau Scam' sejak Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa berusia 71 tahun, semalam.

Katanya, mangsa dihubungi seorang individu mendakwa dari sebuah syarikat perkhidmatan kurier yang memaklumkan wanita terbabit mempunyai bungkusan mengandungi dokumen pengenalan dirinya dihantar dari Kepong, Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sabah pada 25 Mei lalu.

"Panggilan itu kemudian disambungkan dengan seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai Sarjan Chong Sin Hadari dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

"Lelaki itu mendakwa mangsa terbabit dengan kegiatan penggubahan wang haram dan kononnya butiran peribadinya digunakan bekas pengurus sebuah bank tempatan yang sudah ditahan.

"Malah, lelaki itu (suspek) mengugut akan menahannya jika dia memberitahu perkara berkenaan kepada orang lain," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di Petaling Jaya, hari ini.

Nik Ezanee berkata, mangsa yang takut dengan ugutan itu kemudian memindahkan wang sebanyak RM1.06 juta ke dalam 10 akaun syarikat berbeza secara berperingkat.

"Pemindahan wang itu dibuat sejak 15 Jun hingga 23 Julai lalu sebelum mangsa menyedari dirinya ditipu.

"Kami sedang berusaha mengesan pemilik akaun bagi transaksi pemindahan wang berkenaan dalam kes ini," katanya.

Katanya, beliau menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu sekiranya dihubungi individu tidak dikenali.

"Sila semak dengan pihak berkuasa terlebih dahulu serta bincang bersama ahli keluarga mengenai perkara yang dimaklumkan individu tidak dikenali bagi mengelak menjadi mangsa penipuan Macau Scam," katanya.

GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2020 @ 3:54 PM