NIK Ezanee (kanan) bersama barang rampasan di sebuah rumah di Mutiara Damansara Homes. FOTO IHSAN PDRM
NIK Ezanee (kanan) bersama barang rampasan di sebuah rumah di Mutiara Damansara Homes. FOTO IHSAN PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


SATU bilik khas di tingkat dua rumah di Mutiara Damansara Homes, Petaling Jaya, dijadikan bilik studio penggambaran bagi mempromosikan skim penipuan secara langsung di Internet.

Itu taktik sindiket skim penipuan pelaburan haram yang terbongkar selepas sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menyerbu rumah itu 3 petang semalam dan menahan 12 individu warga asing.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, mereka yang ditahan terdiri enam lelaki dan enam wanita berusia 26 hingga 53 tahun.

Menurutnya, tangkapan dibuat di tiga lokasi berbeza di dalam sebuah rumah iaitu di ruang tamu dan dua bilik tidur.

"Semasa tangkapan dibuat, masing-masing sedang mengendalikan beberapa komputer riba dipercayai menjalankan kegiatan pelaburan dalam talian secara haram.

"Terdapat satu bilik di tingkat dua dijadikan bilik studio penggambaran dipercayai digunakan untuk mempromosikan skim penipuan secara langsung di Internet," katanya dalam satu kenyataan di Petaling Jaya, hari ini.

Nik Ezanee berkata, hasil pemeriksaan lanjut di dalam premis, polis merampas pelbagai barang disyaki digunakan untuk kegiatan pelaburan dalam talian secara haram.

Beliau berkata, antara dirampas adalah enam komputer riba pelbagai jenama, unit modem dan router.

Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan untuk mengenalpasti operasi serta keuntungan sindiket berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2020 @ 11:00 PM