Anggota bomba mengusung mangsa selepas menemuinya lemas di Sungai Jin, Sungai Lembing, Kuantan petang hari ini. Foto Ihsan JBPM
Anggota bomba mengusung mangsa selepas menemuinya lemas di Sungai Jin, Sungai Lembing, Kuantan petang hari ini. Foto Ihsan JBPM
Asrol Awang

KEGEMBIRAAN lebih 10 rakan mandi di Sungai Jin, Sungai Lembing di Kuantan bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas petang hari ini.

Mayat Ahmad Hasrul Hisyam Ahmad Fauzi, 33, dari Sungai Isap Perdana ditemui oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada 6.48 petang.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, berdasarkan laporan didapati kejadian berlaku pada 3.30 petang.

Menurutnya, mangsa yang tidak bekerja bersama lebih 10 rakannya tiba di Sungai Jin untuk berkelah dan mandi pada 1 tengah hari.

"Ketika sedang mandi, mangsa dikatakan ke kawasan lubuk dan dihanyutkan arus deras.

"Rakan mangsa cuba membantu namun gagal disebabkan kejadian berlaku terlalu pantas dan lubuk itu agak dalam sebelum menghubungi pihak berkuasa.

"Bertindak atas maklumat, gerakan mencari dan mengesan mangsa dilancarkan serta-merta.

"Mangsa dijumpai oleh pasukan penyelam di kawasan lubuk tempat mangsa lemas," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, mayatnya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 10:03 PM