DATUK Abdul Latif Abdul Kadir (memegang bendera)  Pelancaran Kenderaan Orang Kena Tahan (OKT) JKDM. FOTO Samadi Ahmad
DATUK Abdul Latif Abdul Kadir (memegang bendera) Pelancaran Kenderaan Orang Kena Tahan (OKT) JKDM. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan menambah 20 mesin pengimbas berkualiti tinggi di pintu masuk negara bagi menggantikan mesin lama dalam usaha mengekang penyeludupan dadah secara kurier yang semakin berleluasa ketika ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Abdul Latif Abdul Kadir berkata, mesin pengimbas itu dijangka tiba dari luar negara pada penghujung tahun ini bagi ditempatkan di lapangan terbang dan pelabuhan.

Menurutnya, kos pembelian mesin pengimbas itu kira-kira RM200 juta dan sepatutnya JKDM memerlukan 70 buah bagi kegunaan mengimbas beg penumpang dan kegunaan komersial.

"JKDM akan berbincang dengan Kementerian Kewangan bagi menambah mesin pengimbas berkualiti tinggi ini kerana peralatan sedia ada sudah terlalu lama dan perlu diganti baharu.

"Tanpa peralatan ini, JKDM sukar untuk mengesan penyeludupan dadah yang disorok di dalam barangan penumpang termasuk yang dibawa kontena kerana pihak berkenaan sering menggunakan pelbagai cara bagi mengelirukan pihak keselamatan," katanya pada sidang media Pelancaran Kenderaan Orang Kena Tahan (OKT) di Putrajaya, hari ini.

Kenderaan OKT berjenama Maxus itu boleh memuatkan sehingga 13 orang membabitkan maksimum 10 Orang Yang Disyaki atau OKT dan tiga pegawai termasuk pemandu.

JKDM menerima 12 unit kenderaan OKT bagi digunakan Bahagian Penguatkuasaan di peringkat ibu pejabat, zon dan negeri.

Abdul Latif berkata, dalam tempoh 15 hari lalu, JKDM berjaya mematahkan sembilan kes penyeludupan dadah secara kurier di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan sejak Februari hingga Jun lalu, pihaknya berjaya mematahkan 115 kes.

Menurutnya, dadah yang diseludup itu adalah jenis methamphetamine dan disyaki untuk diedarkan di negara ini.

Katanya, bagi tempoh Januari hingga Jun lalu, JKDM mematahkan 260 kes penyeludupan minuman keras dengan nilai rampasan sebanyak RM5.3 juta serta duti berjumlah RM14.5 juta.

"Selain mesin pengimbas, JKDM turut menggunakan anjing pengesan di stesyen sempadan negara di Padang Besar, Perlis, KLIA dan Johor Bahru bagi mengesan penyeludupan dadah," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan bagi tempoh Januari hingga Jun lalu, JKDM mematahkan 804 kes penyeludupan rokok keretek dan putih bernilai RM37,330,200.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 3:04 PM