Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah mematahkan cubaan menyeludup tiga kontena minuman keras dalam pemeriksaan di Pelabuhan Sepanggar, di sini, 29 Julai lalu.

Dalam operasi jam 10.50 pagi itu, semua minuman keras sebanyak 9,000 kotak yang dirampas dianggarkan bernilai keseluruhan RM1.568 juta termasuk cukai.

Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Sabah, Julaiman Soimin berkata, kejayaan adalah hasil daripada pemeriksaan yang dibuat menerusi mesin pengimbas terhadap ketiga-tiga kontena berkenaan.

Katanya, semua ketiga-tiga kontena berkenaan diisytiharkan sebagai barang dagangan lain termasuk tisu dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Bagaimanapun, hasil imbasan imej yang meragukan, semua kontena berkenaan didapati berisi minuman keras yang dianggarkan bernilai RM658,000 dan membabitkan jumlah cukai RM910,000 juta.

"Setakat ini, tiada sebarang tangkapan dilakukan dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967," katanya.

PENOLONG Ketua Pengarah JKDM Zon Sabah, Julaiman Soimin. FOTO Juwan Riduan
PENOLONG Ketua Pengarah JKDM Zon Sabah, Julaiman Soimin. FOTO Juwan Riduan

Julaiman berkata, JKDM Sabah amat komited dalam usaha menangani sebarang aktiviti penyeludupan.

Sementara itu, Julaiman berkata, orang ramai digesa membantu pihak JKDM dalam usaha memerangi jenayah penyeludupan khususnya membabitkan rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.

Katanya, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membabitkan diri dengan aktiviti penyeludupan yang bukan saja merugikan hasil negara tetapi juga mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

"JKDM menyeru orang awam memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau hadir ke mana-mana pejabat JKDM yang terdekat.

"Pihak JKDM juga memberi jaminan, identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2022 @ 10:39 AM