Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kajang: Jalan taman perumahan, namun sudah menjadi seperti 'lebuh raya', itu penjelasan Pengerusi Badan Bertindak Kajang-Bypass Abdul Manaf Ramli mengenai jalan Persiaran Impian, di sini, yang didakwa sesak setiap hari sehingga kerap berlaku kemalangan.

Beliau berkata, status 'pemilik' jalan itu masih tergendala sejak laluan dibuka pada 1994 menyebabkan penambahbaikan jalan berkenaan untuk mengatasi kemalangan masih buntu.

Menurutnya, laluan berkenaan sebenarnya direka untuk jalan taman perumahan namun statusnya kini sudah menjadi seperti lebuh raya.

Ini kerana, katanya, laluan itu digunakan kira-kira 100,000 kenderaan setiap hari menghubungkan Kuala Lumpur, Kajang dan Seremban.

Katanya, ini menyebabkan reka bentuk jalan berkenaan tidak sesuai sehingga berlaku kemalangan hampir setiap minggu.

"Reka bentuk jalan taman perumahan tidak sesuai sehingga menyebabkan kemalangan terutama di selekoh berhampiran Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat.

"Kenderaan pula dipandu laju sehingga membahayakan penduduk sekitar Saujana Impian," katanya ketika ditemui, hari ini.

Beliau berkata, badan bertindak jalan berkenaan ditubuhkan pada 2019 sudah mengadakan beberapa siri mesyuarat bersama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Jabatan Kerja Raya dan Biro Pengaduan Awam.

Namun, katanya, sehingga kini tiada sebarang tindakan jangka panjang yang diambil kerana terdapat pertikaian status tanah antara pemaju dan kerajaan.

"Jumlah kenderaan semakin meningkat setiap tahun kerana banyak taman perumahan baharu dibuka dan ini juga meningkatkan jumlah kemalangan di laluan ini.

"Reka bentuk jalan ini perlu dinilai semula agar sesuai dengan kapasiti kenderaan selain perlu menambah baik fasiliti seperti membina pembahagi jalan konkrit yang lebih tinggi untuk mengelak kenderaan terbabas ke laluan bertentangan," katanya.

Abdul Manaf berkata, penduduk bimbang kemalangan akan semakin bertambah seperti beberapa hari lalu yang meragut nyawa suami isteri.

Katanya, status laluan ini perlu diteliti segera agar ada agensi yang bertanggungjawab untuk memantau keadaan dan struktur jalan agar sesuai dan selamat untuk digunakan sesuai dengan keadaan semasa.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MPKj, Kamarul Izlan Sulaiman berkata, MPKj kini masih dalam perbincangan bersama Jabatan Kerja Raya dan Lembaga Lebuh Raya Malaysia mengenai status laluan berkenaan.

Menurutnya, MPKj kini hanya sebagai agensi yang menjaga laluan untuk sementara waktu sebelum ia status pemiliknya diputuskan.

"Bagi mengatasi masalah kemalangan di laluan berkenaan, MPKj sudah memasang penghadang kelajuan selain tanda amaran.

"MPKj hanya menjadi caretaker untuk laluan itu untuk memastikan struktur jalan tidak berlubang namun tidak mempunyai kuasa untuk mengubah reka bentuk jalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 3:33 PM