Tinjauan orang ramai yang masih gagal mematuhi SOP penjarakan sosial ketika beriadah di sekitar Taman Tasik Titiwangsa. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Tinjauan orang ramai yang masih gagal mematuhi SOP penjarakan sosial ketika beriadah di sekitar Taman Tasik Titiwangsa. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Oleh Murnaena Muhammad Nasir

KITA seperti sudah menang. Itu suasana yang dapat digambarkan ketika tinjauan di lokasi sekitar Taman Tasik Titiwangsa di sini, hari ini.

Tinjauan mendapati, pusat rekreasi itu menjadi tumpuan orang ramai melakukan aktiviti riadah seperti berbasikal, berkelah, berjoging serta bersantai bersama keluarga dan rakan.

Tinjauan seawal jam 9.30 pagi mendapati, sebahagian besar keluarga yang menjalankan aktiviti rekreasi tidak memakai pelitup muka dan tidak patuh penjarakan sosial.

Selain itu, segelintir pengunjung juga tidak mengimbas kod QR MySejahtera yang disediakan di pintu masuk.

Tinjauan di premis makanan mendapati, jarak meja antara satu pelanggan dengan pelanggan lain rapat dan tiada buku atau kod untuk imbasan disediakan bagi merekodkan kehadiran.

Perkara yang membimbangkan apabila segelintir pengusaha sewaan basikal tidak melakukan proses nyah kuman selepas pengguna mengembalikan basikal.

Operator basikal, Nurul Syatiraf, 29, berkata, dia bimbang dengan ketidakpatuhan sikap segelintir pengusaha basikal lain yang tidak berdaftar dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Kami mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan DBKL dengan melakukan proses nyah kuman selepas basikal digunakan, merekod nama pelanggan serta mengambil suhu badan setiap individu yang mahu menyewa basikal.

"Sikap pengusaha yang hanya mahu mengaut keuntungan tanpa mematuhi SOP ditetapkan membahayakan pengguna, terutamanya di kawasan tumpuan di sini," katanya.

Bagi pekerja Swasta, Haziq Hamzah, 31, dia menyesal kerana menyewa basikal daripada pengusaha yang tidak berdaftar.

"Saya tidak tahu berkaitan sewaan basikal berdaftar dan sebakliknya. Selepas ditegur dan dihalang masuk ke taman rekreasi oleh penguat kuasa, saya rasa diperdaya," katanya.

Kerani kewangan, Nabila Najiha Abd Kadir, 27, berkata, pematuhan jarak sosial dan kerap membasuh tangan dengan cecair pembasmi kuman perlu kekal dipatuhi.

"Kita perlu jalani normal baharu dan sentiasa beringat, Malaysia belum lagi menang dalam memerangi Covid-19.

"Saya bawa cecair pembasmi kuman dan pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga," katanya yang berkelah bersama dua rakan.

Bagi pekerja swasta, Fikri Suaid, 35, yang berkelah bersama lima ahli keluarganya, ibu bapa perlu memantau anak yang dibawa ke kawasan rekreasi.

"Ibu bapa berperanan penting dalam memastikan anak mereka sentiasa menjaga kebersihan diri.

"Kita tidak tahu siapa yang bergejala Covid-19, bimbang anak jadi mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Julai 2020 @ 4:51 PM