ANGGOTA DBKL menyaman dan memasang kapit tayar kenderaan yang menghalang laluan basikal.
ANGGOTA DBKL menyaman dan memasang kapit tayar kenderaan yang menghalang laluan basikal.
Norizuan Shamsuddin


Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menempatkan pasukan khas bagi memantau dan mengenakan tindakan terhadap kenderaan yang menghalang laluan basikal.

Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Ibrahim Yusof berkata, pasukan terbabit akan melakukan rondaan setiap hari bagi memastikan laluan sekitar ibu kota termasuk laluan basikal tidak terhalang.

Katanya, pasukan khas daripada Jabatan Penguatkuasaan DBKL dinamakan Team Clamp, Rovers dan Basikal itu akan ditempatkan di beberapa lokasi di sekitar ibu kota.

“Lapan anggota daripada pasukan ini dikerah membuat rondaan menggunakan motosikal dan enam lagi akan membuat rondaan dengan menunggang basikal.

“Jika kakitangan kami mendapati ada kenderaan diletakkan menghalang laluan basikal, mereka akan mengarahkan pemilik mengalihkan kenderaan.

“Namun sekiranya pemilik ingkar, tindakan tegas seperti kompaun, kapit tayar dan tunda akan dilakukan terhadap kenderaan mereka.

“Selain memantau laluan basikal, mereka juga akan mengambil tindakan sekiranya mengesan pengguna jalan raya melanggar peraturan lalu lintas di sekitar ibu kota,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Ibrahim turut menasihatkan pengguna jalan raya tidak menyalahgunakan laluan basikal dengan menjadikan laluan berkenaan sebagai kawasan untuk mereka parkir kenderaan termasuk trak makanan.

“Tindakan tegas seperti kompaun dan sita juga akan dikenakan terhadap trak makanan sekiranya didapati berniaga di laluan basikal,” katanya.

Semalam Harian Metro melaporkan, ada segelintir pemilik trak makanan dan kenderaan awam meletakkan kenderaan mereka di laluan basikal bernilai RM4 juta yang dibina sejauh 11 kilometer di sekitar ibu kota sehingga menutup laluan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 8:32 AM