MD Sharif menyerahkan sumbangan kepada penerima biasiswa UMP di UMP Pekan. FOTO Ihsan UMP
MD Sharif menyerahkan sumbangan kepada penerima biasiswa UMP di UMP Pekan. FOTO Ihsan UMP
Asrol Awang

YAYASAN Universiti Malaysia Pahang (UMP) memperluaskan agihan dana dengan memperkenalkan biasiswa kepada penuntut pasca siswazah bagi membantu urusan pembayaran yuran pengajian dan mengurangkan beban perbelanjaan serta wang saku.

Buat julung kalinya, 20 penuntut layak menerima biasiswa Yayasan UMP (Ijazah Sarjana–Penyelidikan) sebagai pemangkin semangat untuk terus fokus dalam menjalankan eksperimen, kajian lapangan serta penerbitan jurnal sehingga tamat pengajian.

Penyerahan biasiswa itu disampaikan Pengerusi Yayasan UMP, Datuk Seri Md Sharif Shamsuddin, hari ini.

Dalam ucapannya, Md Sharif mengharapkan penuntut dapat belajar bersungguh-sungguh dan menyumbang kembali kepada Yayasan UMP selepas menamatkan pengajian.

"Biasiswa itu diharap mampu menarik minat dan menjadi pendorong kepada lebih ramai lagi penuntut prasiswazah untuk melanjutkan pengajian mereka di peringkat pascasiswazah nanti.

"Sentiasa ingat Yayasan UMP dan berterima kasih kepada penyumbang daripada badan korporat, zakat dan pihak luar.

"Menerusi sumbangan diberikan kepada Yayasan UMP, lebih ramai penerima biasiswa atau penerima manfaat daripada Yayasan UMP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 5:54 PM