Wan Rosdy menyampaikan biasiswa RM20,000 kepada A Previna di Kuantan. FOTO Asrol Awang
Wan Rosdy menyampaikan biasiswa RM20,000 kepada A Previna di Kuantan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Kejayaan A Previna terpilih antara 25 pelajar dari sembilan negara untuk mengikuti program sarjana di Universiti Texas, Austin di Amerika Syarikat mendapat perhatian kerajaan Pahang.

Justeru, Previna yang akan mengikuti pengajian dalam program Tenaga dan Sumber Bumi di universiti berkenaan menerima biasiswa berjumlah RM20,000 menerusi Yayasan Pahang.

Previna, 28, berkata dia berterima kasih di atas sumbangan biasiswa oleh kerajaan Pahang berkenaan.

"Tempoh pengajian saya selama dua tahun bermula bulan ini hingga Julai 2025 yang turut mendapat tajaan yuran pengajian daripada Universiti Texas.

"Biasiswa ini sememangnya amat membantu kerana saya akan berangkat ke Amerika Syarikat pada 9 Ogos ini," katanya yang sebelum ini bekerja sebagai ahli geofizik di Kuala Lumpur.

Penyerahan biasiswa di bawah skim Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar (BKMB) itu dilakukan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Pada majlis sama, Wan Rosdy turut menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada pelajar Kolej Yayasan Pahang Advanced Skills, Tuan Nur Fatin Shazlin Tuan Mustafa, 22, atas kejayaan meraih pingat perak dalam pertandingan memasak di Worldskills ASEAN Singapore 2023, baru-baru ini.

Tuan Nur Fatin Shazlin Tuan Mustafa juga berpeluang ke Worldskills Asia di Abu Dhabi pada November depan jika Malaysia ditawarkan lebih daripada satu tempat ke pertandingan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 2:40 PM