Sepuluh lelaki yang leka bermain snooker termasuk seorang pekerja di sebuah premis permainan itu tidak berlesen di Taman Bukit Indah, di sini, masing-masing dikompaun RM1,500, dan RM10,000, malam tadi. FOTO IHSAN PDRM
Sepuluh lelaki yang leka bermain snooker termasuk seorang pekerja di sebuah premis permainan itu tidak berlesen di Taman Bukit Indah, di sini, masing-masing dikompaun RM1,500, dan RM10,000, malam tadi. FOTO IHSAN PDRM
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Sembilan lelaki yang leka bermain snuker dikompaun RM1,500 seorang manakala pemilik premis dikenakan RM10,000 kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, mereka didapati melakukan kesalahan itu di sebuah premis permainan tidak berlesen di Taman Bukit Indah di sini, kira-kira jam 10.15 malam.

Katanya, ketika serbuan terdapat 10 lelaki berusia 18 hingga 40 tahun yang sedang leka bermain snooker termasuk penyelia premis yang juga merangkap juruwang.

"Kesemua 10 suspek yang berada di dalam premis itu juga didapati tidak memakai pelitup muka dan tiada penjarakan fizikal.

"Sembilan suspek dikompaun RM1,500 dan penyelia berkenaan pula dikompaun RM10,000.

"Mereka melakukan kesalahan di bawah Peraturan 16(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempat Jangkitan 2021)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dzulkhairi berkata, hasil semakan rekod ke atas kesemua yang ditahan mendapati dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

"Polis turut merampas dua set bola snuker 44 biji), empat batang kayu snuker, empat biji 'choke', satu unit kunci kawalan jauh selain wang tunai berjumlah RM275 turut dirampas untuk dijadikan sebagai bahan bukti," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 6(2) Enakmen Negeri Johor dan Peraturan 16(1) Peraturan 16(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempat Jangkitan 2021).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 1:27 PM