FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
BERNAMA

PEMERIKSAAN laut oleh Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) di Zon Maritim Malaysia (ZMM) tidak mencapai sasaran yang ditetapkan dari 2017 hingga 2019 kerana kenderaan operasi mengalami kerosakan dan kekangan peruntukan kewangan bagi menjalankan operasi.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 3, dalam tempoh itu hanya 50 peratus kapal atau bot peronda dalam keadaan baik dan siap siaga manakala selebihnya mengalami kerosakan berulang.

"Indeks Prestasi Utama (KPI) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam memastikan aset beroperasi di ZMM dengan sekurang-sekurangnya 45 kapal atau bot setiap hari, tidak dicapai kerana kapal atau bot mengalami kerosakan," menurut laporan berkenaan.

Dalam pada itu, dari 2016-2019, APMM, Pasukan Polis Marin (PPM); Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan JKDM Marin merekodkan 23,579 kes penyeludupan dengan rampasan bernilai RM1,576 juta bersama anggaran cukai RM1,561 juta.

"PPM dan PDRM merekodkan kes penyeludupan tertinggi iaitu sebanyak 18,321 kes sementara JKDM pula merekodkan nilai rampasan tertinggi pintu keluar/masuk laut bernilai RM834 juta," menurut laporan itu.

Selain itu, mengikut penahanan pendatang asing tanpa izin (Pati) dan notis penolakan masuk (NTL) dari 2016 hingga 2019, APMM, PPM, PDRM, dan JKDM Marin menahan seramai 15,619 pendatang tanpa izin mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Laporan juga menunjukkan jumlah tangkapan Pati tertinggi direkodkan oleh PPM dan PDRM seramai 12,578 dari 2016 hingga 2019.

Semakan selanjutnya, bagi pintu keluar/masuk laut, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengeluarkan NTL kepada 87,416 warga asing kerana melakukan kesalahan membabitkan pasport dan visa dan serta kesalahan bagi imigran larangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 6:34 PM