Hazira Ahmad Zaidi


BERMULA dengan menggunakan dron untuk menyembur racun dan baja cecair di sawah milik bapa mentua, seorang pemuda dari Kampung Sri Kulim, Melor, Pasir Puteh, kini menjadikannya sebagai pendapatan sampingan.

Noor Hanif Noordin, 33, berkata, permintaan terhadap perkhidmatan ditawarkannya itu meningkat secara mendadak ketika musim menanam padi iaitu dua kali setahun dan mampu meraih pendapatan secara purata sehingga RM7,000 sebulan.

Katanya, dia mula menawarkan perkhidmatan dron sejak awal bulan lalu dengan membeli dua unit dron bernilai RM70,000 dan dipasang sendiri di bawah kendalian syarikat Ikhwan Afif Resources (IAR) yang berpengkalan di Perak.

"Bagi melancarkan operasi, saya dibantu empat pekerja yang mempunyai kemahiran serta lesen untuk menerbangkan dron bagi tugas menyembur racun bagi tanaman padi.

"Setiap kali melakukan semburan, mereka perlu mengetahui berapa banyak tong sesuai bagi menyembur racun secara efektif selain perlu mengawal ketinggian dron ketika menyembur racun untuk menghapuskan penyakit pada padi serta serangan serangga seperti ulat padi dilakukan secara berkesan," katanya ketika ditemui di Bendang Jelor, Pasir Puteh, hari ini.

Noor Hanif yang juga Pegawai Teknologi Maklumat di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berkata, setakat ini dia menerima permintaan daripada pesawah di sekitar Pasir Puteh, Bachok dan Kok Lanas.

Beliau berkata, setiap hari mereka mampu melakukan semburan sehingga lapan hektar sawah dengan upah RM30 bagi setiap 0.4 hektar dan pada masa sama mengikut saranan daripada Jabatan Pertanian Negeri (JPN).

"Apabila menggunakan dron, masa diperlukan untuk menyembur racun bagi sawah padi berkeluasan satu hektar hanya selama tujuh minit berbanding cara tradisional memakan masa antara sejam hingga dua jam.

"Penggunaan dron dapat mengoptimumkan rawatan tanaman secara teliti, sekali gus dapat meningkatkan kualiti pengeluaran, meningkatkan hasil dan mengurangkan kos.

"Pada masa sama, kebaikan teknik semburan menggunakan dron ini lebih rata dan cepat, sekali gus meningkatkan hasil padi berbanding semburan biasa," katanya.

Dron yang digunakan untuk menyembur racun dan baja cecair di sawah untuk menghapuskan penyakit pada padi serta serangan serangga dan ulat padi di Bendang Jelor.FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Dron yang digunakan untuk menyembur racun dan baja cecair di sawah untuk menghapuskan penyakit pada padi serta serangan serangga dan ulat padi di Bendang Jelor.FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 6:00 PM