BERNAMA

NIAT murni Muhammad Ikmal Hafizi Mohd Nazri, 25, yang rela berhenti kerja demi menjaga ibu bapanya di kampung terbalas apabila memperoleh kerjaya baharu dengan menerbangkan dron bagi tugas membaja dan menyembur racun untuk tanaman padi.

“Apabila saya pulang ke kampung untuk menjaga ibu bapa yang kurang sihat, saya dapat tahu melalui rakan Koperasi Wawasan Tani Bhd Simpang Lima sedang mencari pengendali dron, maka saya memohon kerja itu,” katanya.

Menurutnya, dia dipilih menerbangkan dron bagi membaja dan menyembur racun dalam proses penanaman padi.

Digelar sebagai pilot, Ikmal bersama rakan sekerja, Mohd Afiq Haziq Sulaiman, 25, melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memantapkan lagi penggunaan dron di samping mengelak daripada sebarang masalah.

Sementara itu, Afiq yang juga pemegang Sijil Kemahiran Malaysia berkata, mereka mengubah suai dron mengikut penggunaan bateri dan kapasiti racun yang boleh digunakan untuk satu lot sawah padi.

“Kami kena tahu berapa tong diperlukan bagi menyembur racun dengan efektif. Selepas melakukan R&D, kami ubah suai dron itu supaya boleh membawa 10 liter racun dengan kawalan bateri sesuai,” katanya.

Selain itu, katanya mereka perlu belajar mengawal ketinggian dron dan masa sesuai untuk menyembur racun supaya usaha menghapuskan penyakit pada padi dan serangan serangga seperti ulat batang berkesan.

Afiq antara pilot terawal menerbangkan dron untuk penanaman padi dan mengendalikan pelbagai jenis dron termasuk DJI Agras MG1, model dron pertama digunakan di sawah padi yang memerlukan dua pengendali.

Selain itu, Ikmal dan Afiq juga berdaftar dengan Kelab Belia Wawasan di bawah koperasi dan diakui Kementerian Belia dan Sukan untuk melayakkan mereka mendapat latihan dan bekerja sebagai pilot di koperasi itu.

Waktu kerja mereka setiap hari bermula jam 6.30 pagi hingga 11 pagi dan 5 petang hingga tengah malam mengikut waktu aktif serangga perosak.

“Kami tolong pesawah dan bekerja sampai lewat malam, tapi kami juga perlu minta kerjasama mereka mengalihkan kayu atau dahan tinggi di tengah sawah untuk memudahkan perjalanan dron,” katanya.

Mengulas aspek pendapatan, Ikmal dan Afiq amat berpuas hati dengan gaji diterima ditambah pula waktu kerja fleksibel.

“Ramai bertanya, kenapa saya kerja di sawah memandangkan saya ada diploma. Tetapi, saya puas hati dapat menjadikan minat sebagai kerjaya dalam masa yang sama mendapat gaji berbaloi,” kata Ikmal yang membawa dron sejak akhir tahun lalu.

Mereka juga berharap bilangan dron ditingkatkan bagi menarik lebih ramai belia bekerja di sawah yang kini amat memerlukan tenaga muda.

“Kita tiada dron yang cukup, tetapi ramai memohon bekerja di sawah dengan harapan dapat menerbangkan dron,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 January 2020 @ 7:00 AM