LAPORAN Harian Metro
LAPORAN Harian Metro
Balqis Jazimah Zahari


POLIS sedang mengesan waris mayat wanita yang ditemukan terapung di Sungai Kuala Kampar berdekatan jambatan dari Malim Nawar ke Tanjung Tualang, Kampar petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, identiti wanita itu sehingga kini masih belum dikenal pasti.

"Wanita itu berusia lingkungan 40 tahun dan ketika ditemui memakai sepasang subang perak bertanda dua naga," katanya ketika dihubungi hari ini.

Hasron berkata, hasil bedah siasat selama tiga jam oleh doktor Pakar Perubatan Forensik dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Hospital Kampar mendapati wanita itu sudah meninggal dunia antara dua ke tiga hari berdasarkan pereputan tubuhnya.

"Pemeriksaan luaran mayat mendapati terdapat seakan kesan gigitan haiwan di bahagian kepala dan juga tangan kanan.

"Manakala pemeriksaan dalaman mendapati organ dalaman sudah reput dan tiada penyakit nyata," katanya.

Beliau berkata, kesan terbelah pada mayat didapati berlaku selepas kematian berdasarkan pada luka yang tidak berdarah yang biasa berlaku selepas kematian.

"Pemerhatian juga mendapati tidak menjumpai sebarang kesan trauma dan tiada sebarang unsur jenayah. Punca kematian tidak dapat dipastikan kerana berlaku pereputan pada mayat," katanya.

Katanya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian secara mengejut (SDR).

Beliau berkata, Balai Polis Malim Nawar menerima panggilan dari orang awam pada jam 5.20 petang semalam yang memaklumkan menjumpai mayat di dalam Sungai Kampar, Kuala Kampar.

Berita berkaitan

Pemancing temui mayat wanita terapung

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 5:41 PM