Farah Suhaidah Othman

REMAJA berusia 13 tahun dipercayai menjadi mangsa rogol bapa dan datuknya sendiri di dua lokasi berbeza di kawasan Malim Nawar, dekat Kampar, sejak lima tahun lalu.

Bagaimanapun, derita remaja itu berakhir apabila bapanya berusia 39 tahun ditahan di tempat kerjanya di Bidor pada jam 2 petang kelmarin.

Datuknya yang berusia 63 tahun pula ditahan di rumahnya di Malim Nawar, setengah jam kemudian.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, perbuatan itu terbongkar apabila mangsa yang juga anak sulung dari dua beradik menceritakan kejadian dirogol oleh kedua-dua suspek sejak lima tahun kepada ibunya yang berusia yang berusia 31 tahun selepas dipercayai tidak mampu lagi menanggung tekanan sejak diperlakukan sedemikian.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai bermula pada tahun 2013 ketika mangsa berusia lapan tahun dan dirogol di dua lokasi berbeza di kawasan Malim Nawar.

“Kejadian itu berulang lagi pada tahun ini sebelum mangsa menceritakan mengenai kejadian itu kepada ibunya sebelum membuat laporan di Balai Polis Malim Nawar,” katanya ketika dihubungi di Ipoh hari ini.

Beliau berkata, susulan itu mangsa dibawa ke Hospital Kampar untuk pemeriksaan dan pegawai perubatan memaklumkan mangsa mengalami kesan koyakan pada kemaluannya.

“Pemeriksaan lanjut oleh pakar sakit puan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh mendapati terdapat kesan koyakan lama pada bahagian selaput dara mangsa dipercayai kesan kemasukan objek tumpul seperti zakar,” katanya.

Hasron Nazri berkata, kedua-dua suspek direman enam hari bermula semalam hingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut.

Katanya, siasatan diteruskan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 7:57 PM