Rafidah Mat Ruzki


SEBANYAK 113 kes positif Covid-19 berjaya dikesan melalui aktiviti survelan klinikal yang dijalankan sejak 12 Februari lalu hingga semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, aktiviti survelan klinikal itu membabitkan tiga jenis persampelan iaitu persampelan penyakit seperti influenza (ILI), jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) dan persampelan pra-pembedahan.

Menurutnya, sebanyak 77 kes positif dikesan melalui 19,422 sampel bagi persampelan SARI, 21 kes positif daripada 51,870 sampel pra-pembedahan dan 15 kes positif bagi sampel ILI.

Katanya, walaupun kebelakangan ini jumlah kes harian Covid-19 di negara ini mencatatkan satu angka sejak lima hari lalu, berkemungkinan ada segelintir anggota masyarakat khuatir kes yang masih wujud di dalam komuniti dan belum dapat dikesan terutama dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai gejala.

Justeru, Dr Noor Hisham berkata, bagi memastikan kes Covid-19 dalam komuniti terus dipantau, dikesan awal dan dibendung, kerajaan sudah mengambil pendekatan pengesanan kes Covid-19 melalui aktiviti survelan iaitu termasuk survelan klinikal dan saringan kumpulan sasar.

"Pendekatan tertumpu ini turut dapat mengambil kira penjimatan kos dan didapati turut dilaksanakan di beberapa negara lain yang sedang berjaya memerangi pandemik Covid-19 tanpa ujian secara besar-besaran.

"Dengan pendekatan tertumpu ini, sumber yang digunakan bagi menjalankan ujian dan aktiviti saringan ini dapat dipertimbangkan dengan cermat termasuk mengelak pembaziran.

"Ini memandangkan usaha memerangi Covid-19 ini masih panjang," katanya ketika sidang medianya di Putrajaya hari ini.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2020 @ 6:56 PM