Shamran Sarahan dan Amir Abd Hamid dan Sri Ayu Kartika Amri


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan sebanyak 81 kes positif jangkitan Covid-19 dalam kalangan pesakit Influenza (ILI) dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia dikesan menerusi aktiviti survelan yang dilakukan KKM bagi tempoh 18 minggu epid.

Beliau berkata, aktiviti survelan itu bertindak sebagai sistem pengesanan awal dan sistem amaran awal kes jangkitan Covid-19 di Malaysia.

"Aktiviti merangkumi survelan klinikal iaitu pengesanan dan persampelan kes ILI di lokasi sentinel (iaitu Klinik Kesihatan KKM) seluruh negara dan kes SARI di semua hospital KKM.

"Setakat minggu epid ke-18, sebanyak 9,010 sampel diambil daripada pesakit kes ILI dan SARI. Daripada jumlah itu, sebanyak 81 sampel disahkan positif Covid-19 iaitu 0.9 peratus.

"Pecahannya iaitu kes ILI membabitkan 14 kes positif Covid-19 daripada 1,594 sampel atau 0.94 peratus manakala kes SARI membabitkan 67 kes positif daripada 7,416 sampel atau 0.9 peratus," katanya.

Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH

Beliau berkata demikian pada sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, secara keseluruhannya terdapat penurunan kes positif Covid-19 yang dikesan melalui SARI.

"Jika dibandingkan minggu epid ke-13, kadar positif adalah sebanyak 8.7 peratus iaitu 25 kes dikesan daripada 288 sampel SARI.

"Manakala, pada minggu epid ke-18 pula, kadar positif adalah 0.13 peratus iaitu satu kes dikesan daripada 772 sampel SARI.

"Ini menunjukkan pengesanan kes SARI yang serius dan sederhana serius di kalangan pesakit Covid-19 adalah semakin berkurangan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 8:46 PM