NOOR Hisham Abdullah
NOOR Hisham Abdullah
Raja Noraina Raja Rahim


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan 28 lagi individu positif jangkitan koronavirus (Covid-19) setakat tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan positif Covid-19 sebanyak 83 kes dan 19 daripadanya sudah dibenarkan pulang.

Beliau berkata, semua kes positif berkenaan adalah rakyat tempatan dalam kalangan kontak rapat, Pengesanan Kes Yang Disyaki (PUI) dan Misi Bantuan Kemanusiaan.

“Daripada jumlah itu, 65 warganegara Malaysia, China (15) manakala lain-lain warganegara iaitu Amerika Syarikat, Jepun dan Itali (3).

“Sehingga kini, 956 kontak rapat sudah dikenal pasti. Daripada jumlah itu, sebanyak 258 kontak rapat kepada kes ke-26 yang dikesan dan diambil sampel.

“18 orang disahkan, 70 orang negatif namun diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah untuk tempoh 14 hari. Manakala 170 orang berjaya dikesan dan masih menunggu keputusan makmal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan dan aktiviti pengesanan kontak rapat diteruskan bagi mengenal pasti punca jangkitan dan mencegah penularan.

Katanya, KKM juga menjalankan survelan Covid-19 bagi mengesan kes sporadik dan kes tempatan di Malaysia melalui pesakit influenza-like-illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI) yang tiada kaitan dengan sejarah perjalanan ke negara terjejas atau kontak kes positif.

“Sehingga hari ini, sebanyak 430 sampel diuji dan tiada sampel dikesan positif jangkitan. Tiada juga kes sporadik Covid-19 yang dikesan melalui aktiviti survelan itu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 7:19 PM