Suraya Roslan dan Muhaamad Hafis Nawawi

SERAMAI 868,394 individu sudah disampel untuk Covid-19 di Malaysia iaitu bersamaan 27.14 individu bagi setiap 1,000 populasi, setakat hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, data awal di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) menunjukkan Malaysia sudah menjalankan 1,577,417 ujian menggunakan Ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (rt-PCR) dan Rapid Test Kit Antigen (RTK-Antigen).

"Ini kerana terdapat individu yang memerlukan ujian ulangan dan bilangan ujian yang dijalankan oleh beberapa negara jiran bagi setiap 1,000 populasi mereka adalah di Vietnam iaitu sebanyak 2.7 ujian bagi setiap 1,000 populasi, manakala di Jepun pula 4.1 ujian bagi setiap 1,000 populasi.

"Selain itu di Korea Selatan adalah sebanyak 26.29 ujian bagi setiap 1,000 populasi; Singapura (79.83 ujian bagi setiap 1,000 populasi); Australia (114.15 ujian bagi setiap 1,000 populasi) dan New Zealand (87.54 ujian bagi setiap 1,000 populasi)," katanya dalam sidang media harian, hari ini.

Menurutnya, bilangan ujian di Malaysia setanding dengan Korea Selatan walaupun kapasiti makmal untuk persampelan di negara ini sudah bertambah sehingga 37,000 sampel sehari, namun kadar positif adalah hanya 1.05 peratus.

DATA awal di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) menunjukkan Malaysia sudah menjalankan 1,577,417 ujian menggunakan Ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (rt-PCR) dan Rapid Test Kit Antigen (RTK-Antigen). FOTO Arkib NSTP
DATA awal di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) menunjukkan Malaysia sudah menjalankan 1,577,417 ujian menggunakan Ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (rt-PCR) dan Rapid Test Kit Antigen (RTK-Antigen). FOTO Arkib NSTP

"Ini bermakna hampir 99 peratus keputusan ujian Covid-19 yang dijalankan adalah negatif dan mutakhir ini kes harian di Malaysia adalah rendah.

"Bagaimanapun, bagi memastikan kes Covid-19 dalam komuniti terus dipantau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempergiatkan aktiviti survelan dan setakat hari ini secara kumulatif sebanyak 129 kes Covid-19 yang dikesan melalui aktiviti survelan klinikal," katanya.

Menurutnya, persampelan Influenza Like Illness (ILI) dikesan 15 kes positif Covid-19 daripada 3,174 sampel iaitu kadar positif adalah 0.47 peratus.

"Persampelan Severe Acute Respiratory Infection (SARI) pula ialah 85 kes positif Covid-19 daripada 21,544 sampel iaitu kadar positif adalah 0.39 peratus.

"Persampelan pra pembedahan pula 29 kes positif Covid-19 daripada 66,081 sampel iaitu kadar positif 0.04 peratus," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 6:22 PM