KEADAAN bot yang terbalik dalam kejadian dibadai ribut dan ombak besar di kawasan perairan  perairan Kemasin kini diletakkan di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Besar. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
KEADAAN bot yang terbalik dalam kejadian dibadai ribut dan ombak besar di kawasan perairan perairan Kemasin kini diletakkan di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Besar. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hazira Ahmad Zaidi


PENCARIAN tiga lagi pemancing yang hilang dalam kejadian bot terbalik di perairan Kemasin, Bachok diperluaskan lebih 400 batu nautika persegi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan Kapten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari keempat membabitkan 81 anggota dari pelbagai agensi penyelamat.

Katanya, operasi hari ini bermula jam 7 pagi membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Perikanan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) selain turut mendapat bantuan daripada nelayan tempatan dan pihak berkuasa Thailand.

"Dalam operasi diadakan semalam, lokasi pencarian diperluaskan 351.6 batu nautika persegi, namun masih gagal mencari tiga mangsa yang hilang.

"Walau bagaimanapun, pasukan pencarian masih gagal mendapat petunjuk lokasi ketiga-tiga mangsa meskipun menemui pelbagai tong dan kayu yang dipercayai milik bot yang terbalik itu," katanya ketika ditemui di Jeti Perikanan Kemasin, Bachok, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 8.30 malam Isnin lalu, bot dinaiki 20 individu termasuk pemancing dan awak-awak terbalik dipukul ribut menyebabkan sauhnya terputus, sebelum dibadai ombak besar dan terbalik.

Susulan kejadian itu, 12 individu berjaya menyelamatkan diri dan lima individu meninggal dunia iaitu Wan Aminuddin Wan Hussin, 63; Mohd Syafizam Daud, 43; Muhammad Zaki Muhamad Nordin, 32; Pok Ta berusia 50-an dan Shafiq Che Alim, 29, manakala, tiga lagi yang masih hilang hilang iaitu Harun Daud, 60; Arman Ismail, 43 dan Che Wadi Bakar, 40.

Difahamkan, bot terbabit dikatakan berlepas dari jeti Kuala Besar kira-kira jam 3 petang untuk tujuan memancing dan mencandat sotong.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 1:55 PM