PEKERJA warga Myanmar yang ditahan. FOTO ihsan APMM
PEKERJA warga Myanmar yang ditahan. FOTO ihsan APMM
Nur Izzati Mohamad


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan 17 warga Myanmar yang bekerja di sangkar ikan melalui Operasi Benteng Laut, kelmarin.

Pengarahnya, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, pihaknya mengadakan operasi pada 1 tengah hari di kedudukan 0.2 batu nautika tenggara Batu Maung, dekat Georgetown.

"Melalui operasi itu, seramai 17 pekerja sangkar ikan warga Myanmar ditahan untuk pemeriksaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati tiga daripada mereka memiliki permit kerja yang sudah tamat tempoh pada Februari 2018 manakala selebihnya tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam kenyataan, di Georgetown, hari ini.

Jelasnya, kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat APMM negeri untuk siasatan dan tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) iaitu tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah serta Seksyen 55E(1) kerana menempatkan PATI di premis dan Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana bekerja tanpa permit yang sah," katanya.

Hamizan berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan pemantauan dan rondaan bagi membanteras kegiatan jenayah di perairan negeri ini.

Sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2020 @ 11:32 AM