PAUL Yong. FOTO arkib NSTP
PAUL Yong. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

MAHKAMAH Sesyen Ipoh hari ini menetapkan 16 Julai ini bagi sebutan semula kes rogol pembantu rumah warga Indonesia membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong.

Hakim Harith Mohamed Yasin menetapkan tarikh itu selepas peguam tertuduh, Farhan Sapian memaklumkan pihaknya menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung rayuan memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Naidatul Athirah Azman.

Naidatul Athirah ketika prosiding pengurusan kes hari ini berkata, pihaknya memohon agar tarikh perbicaraan ditetapkan kerana kes sudah ditangguhkan beberapa kali sebelum ini.

"Kes ini di bawah kod kakitangan kerajaan tetapi hampir setahun masih belum berjalan (perbicaraan) lagi dan mangsa juga masih dalam perlindungan," katanya.

Sementara itu, Farhan ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, Mahkamah Sesyen menetapkan tarikh sebutan semula dulu sementara menunggu tarikh dari Mahkamah Persekutuan.

"Pihak pendakwaan sudah mohon tarikh bicara ditetapkan namun demikian hakim mahkamah bersetuju menetapkan tarikh sebutan semula terlebih dulu memandangkan rayuan sudah disediakan dan dihantar ke Mahkamah Persekutuan, tunggu tarikh saja," katanya.

Pada 5 Disember tahun lalu, Hakim Sesyen Norashima Khalid menetapkan tarikh perbicaraan Yong, yang juga bekas Exco negeri pada 10 hingga 14 Februari 2020.

Pada 23 Ogos 2019, Yong, 50, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dakwaan merogol pembantu rumahnya, di sebuah rumah di Meru Desa Park di antara 8.15 malam dengan 9.15 malam, pada 7 Julai 2019.

Pada 10 Februari lalu, Mahkamah Rayuan di Putrajaya menolak permohonan Yong untuk memindahkan perbicaraan kes rogol dihadapinya, daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi sebelum pasukan pembelaan membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan pada keesokannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2020 @ 12:09 PM