MOHD Sharim (tengah) beramah mesra bersama peniaga gerai ketika berkempen semalam. FOTO Farizul Hafiz Awang.
MOHD Sharim (tengah) beramah mesra bersama peniaga gerai ketika berkempen semalam. FOTO Farizul Hafiz Awang.
Mohd Rafi Mamat


BERKEMPEN normal baharu menjadikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini kurang meriah.

Pengundi memberitahu suasananya tidak seperti PRK kebiasaan dan berharap sempat mengenali calon bertanding sebelum hari pemilihan, 4 Julai ini.

Rosli Abdullah, 41, yang menetap di Felda Chini 2 berkata, bahang PRK kurang dirasai walaupun tiga calon bertanding aktif membuat lawatan dan bertemu penduduk mengikut normal baharu.

"Saya lihat kempen dalam normal baharu kali ini jauh berbeza, bahangnya tidak menyengat dan meriah berbanding pilihan raya sebelum ini.

"Namun, kami juga akur kerana situasi sekarang tidak sama dan kita masih perlu menjaga jarak sosial dan tidak boleh bebas bersalam dan sebagainya," katanya ditemui.

Dakwanya, calon Barisan Nasional (BN) Mohd Shahrim Md Zain dan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin yang calon Bebas dikenali pengundi Gugusan Chini, namun seorang lagi calon Bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli masih dianggap asing.

Bagi, Mek Wok Mohamad, 61, dia hanya mengetahui kempen PRK Chini sudah bermula selepas menonton pengumuman di televisyen.

"Tiada lagi aktiviti kempen seperti dahulu dan kini saya sempat melihat calon pun ketika ke pasar baru Chini, baru-baru ini," katanya.

PRK Chini diadakan susulan kematian penyandang Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, pada 6 Mei lalu akibat serangan jantung.

Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Shahrim, 41, Zainul Hisham, 64, dan Mohd Shukri, 49.

  • Lagi berita berkaitan PRK DUN Chini
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2020 @ 12:34 PM