MOHD Shahrim. FOTO BERNAMA
MOHD Shahrim. FOTO BERNAMA
Asrol Awang

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Chini, Mohd Shahrim Md Zain akan mengangkat sumpah jawatan itu pada Sidang Dun Pahang ke-14, di Kuantan, esok.

Mohd Shahrim, 41, akan mengangkat sumpah di hadapan Speaker Dun Pahang, Datuk Seri Ishak Muhammad di Wisma Sri Pahang.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Chini 4 Julai lalu, Mohd Sharim menang dengan majoriti 12,650 selepas memperoleh 13,872 undi.

Pencabarnya dua calon Bebas iaitu Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, meraih 1,222 undi dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, mendapat 137 undi, sekali gus hilang deposit masing-masing.

PRK Chini diadakan susulan kematian Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas, 7 Mei lalu.

Sementara itu, Mohd Sharim akan mencontohi keperibadian Allahyarham Abu Bakar yang memperjuangkan keperluan dan masalah masyarakat di Chini.

"Saya mungkin masih baharu dalam politik tetapi selepas dipilih sebagai wakil rakyat, saya akan menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas kelayakan akademik dipersoalkan pada PRK Chini lalu, beliau yang berpendidikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Universiti Terbuka Malaysia (OUM).

"Saya memutuskan untuk mendaftar pengajian selama empat tahun dan memulakan kelas dalam talian. Setakat ini, segalanya berjalan lancar," katanya.

Sementara itu, Ishak berkata, persidangan itu akan dimulakan dengan Mohd Shahrim mengangkat sumpah sebagai Adun Chini diikuti dengan sesi soal jawab.

Beliau berkata, semua yang hadir persidangan diwajibkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha menyekat penularan Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2020 @ 5:29 PM