MUHYIDDIN YASSIN
MUHYIDDIN YASSIN
BERNAMA

KEMENANGAN calon Barisan Nasional (BN) yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, bakal memberi isyarat kepada rakyat tentang keupayaan gabungan parti politik itu yang mampu bekerjasama menjayakan agenda kebajikan rakyat dan kemajuan negara.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kesepakatan dan kematangan parti-parti dalam PN untuk berkempen serta berkongsi pentas politik secara terbuka adalah satu langkah ke arah pembentukan perikatan itu menjadi gabungan politik yang kukuh dan mantap.

"PRK DUN Chini adalah pilihan raya pertama bagi Bersatu bersama gabungan kerajaan Perikatan Nasional.

"Sebagai Presiden Bersatu dan Perdana Menteri Malaysia, saya menyokong penuh calon yang telah diputuskan oleh BN untuk bertanding pada PRK DUN Chini, saudara Mohd Sharim Md Zain," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhyiddin yang juga Pemangku Pengerusi Bersatu berkata, bagi memastikan kemenangan pertama PN, seluruh jentera akar umbi Bersatu Bahagian Pekan digerakkan membantu calon pilihan gabungan itu.

"Gerakan kempen ini diperkuatkan lagi dengan kehadiran pemimpin-pemimpin kanan Bersatu dari seluruh negara," katanya.

Muhyiddin turut menyeru 20,990 pengundi berdaftar di DUN Chini, agar keluar beramai-ramai dan memberikan sokongan padu kepada calon BN, pada hari pengundian Sabtu ini.

"Pilihan anda bukan sahaja bakal menentukan pembangunan dan masa depan Chini, tetapi akan membuka lembaran baharu kepada hala tuju politik di peringkat nasional," katanya.

PRK DUN Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Sharim, 41, dan dua calon Bebas iaitu Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan jantung pada 7 Mei lalu.

DUN Chini mempunyai 20,990 pengundi, dengan 90.39 peratus atau 19,058 adalah pengundi Melayu. Pemilih terdiri daripada 10,269 lelaki dan 10,721 perempuan.

DUN Chini, adalah satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan, menyaksikan PRK pertama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac lalu dan PRK ke-11 diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 7:04 PM