Muhaamad Hafis Nawawi


TERDAPAT 76 kes pulih dan dibenarkan discaj dari hospital dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kes pulih terus meningkat kepada 8,146 kes dengan kadar kesembuhan 95.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata, sebanyak 21 kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan dan merekodkan 8,556 kes positif keseluruhan.

Katanya, 21 kes baharu itu membabitkan dua kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan seorang warga Malaysia dan satu bukan warga negara yang juga pemastautin tetap.

"Daripada 19 kes penularan di dalam negara, tujuh kes adalah bukan warga negara manakala 12 kes adalah dalam kalangan warga Malaysia.

"Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian kekal sebanyak 121 kes atau 1.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehubungan itu, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 sebanyak 289 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan di hospital.

"Sehingga kini, sebanyak tiga kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

"Tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah 121 kes iaitu 1.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2020 @ 5:50 PM