Antara tujuh lembu jantan yang dirampas di kawasan bendang di Kampung Nibong, Tumpat ketika cuba diseludup dari Thailand pagi tadi. Foto Ihsan PGA
Antara tujuh lembu jantan yang dirampas di kawasan bendang di Kampung Nibong, Tumpat ketika cuba diseludup dari Thailand pagi tadi. Foto Ihsan PGA
Siti Rohana Idris

TUJUH lembu jantan yang baharu dibawa menyeberang Sungai Golok dari Thailand tidak sempat dijual apabila dirampas pihak berkuasa dalam serbuan di Kampung Nibong, Tumpat, hari ini.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Superintendan Azhari Nusi berkata, kesemua lembu dianggarkan bernilai RM42,000 itu diseludup ke negara ini menggunakan perahu yang dibawa secara ulang-alik.

Menurutnya, pihaknya sebelum itu membuat intipan di kawasan pangkalan haram Pok Soh, Nibong bermula 4.10 pagi.

"Tidak lama kemudian, anggota kami melihat sekumpulan individu sedang menaikkan beberapa ekor lembu ke dalam perahu dari negara jiran untuk menyeberangi Sungai Golok.

"Intipan juga mendapati beberapa lelaki sedang menunggu di tebing Sungai Golok di negeri ini (Kelantan) dipercayai untuk mengheret haiwan itu ke lokasi seterusnya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Azhari berkata, anggotanya kemudian mengekori beberapa individu terbabit sehingga ke kawasan bendang di Kampung Nibong sebelum membuat serbuan.

Katanya, semua lelaki terbabit bertindak melarikan diri dengan meninggalkan semua lembu itu di kawasan bendang sebaik anggota memperkenalkan diri.

"Siasatan awal mendapati semua lembu jantan yang dianggarkan bernilai RM42,000 ini disyaki diseludup daripada negara jiran untuk pasaran di Kelantan.

"Rampasan berkenaan dibawa ke Balai Polis Kuala Jambu sebelum diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kelantan untuk siasatan lanjut," katanya.

Katanya, sepanjang penugasan Op Benteng Covid-19 dalam tempoh lima hari bermula Selasa lalu, Batalion 7 PGA berjaya mencatatkan 11 kes dengan nilai rampasan berjumlah RM577,793.

"PGA akan sentiasa memastikan kawalan sempadan bagi mengekang aktiviti penyeludupan termasuk pendatang asing tanpa izin (Pati) dapat dikawal sepenuhnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2020 @ 5:06 PM