Raja Noraina Raja Rahim


KEMENTERIAN Luar Negeri akan membawa pulang 127 rakyat Malaysia di Iran dan Itali susulan penularan wabak Covid-19 di dua negara itu.

Timbalan Menterinya Datuk Kamarudin Jaffar berkata, proses repatriasi itu membabitkan 48 rakyat Malaysia di Iran dan 79 lagi di Itali.

Katanya, terdapat 48 orang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Iran, manakala 323 orang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Itali.

“Bagaimanapun, tidak semua yang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Itali akan pulang, memandangkan ada antara mereka bermastautin di sana dan tidak berhasrat untuk meninggalkan negara berkenaan.

“Manakala kesemua yang berdaftar dengan pihak kedutaan di Iran akan dibawa pulang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, pihak kedutaan turut menubuhkan Pasukan Respons Kecemasan (ERT) bagi menyelaraskan misi berkenaan dan bekerjasama dengan pihak berkuasa kedua-dua negara.

Beliau berkata, pelan repatriasi itu dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat tertakluk kepada kelulusan daripada pihak berkuasa Iran dan Itali.

KAMARUDDIN pada sidang media Perkembangan Covid-19 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
KAMARUDDIN pada sidang media Perkembangan Covid-19 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah.

“Rakyat Malaysia dinasihatkan berhubung dengan kedutaan bagi mendapatkan bantuan atau nasihat mengenai proses membawa pulang.

“Ini penting bagi memastikan semua maklumat diperlukan dapat disalurkan dengan tepat kepada mereka yang terbabit dalam operasi ini,” katanya.

Katanya, proses membawa pulang itu adalah yang ketiga dilakukan kerajaan selepas dua penerbangan membabitkan rakyat Malaysia dari Wuhan, China pada 3 Februari dan 25 Februari lalu.

Kamarudin juga menyeru rakyat supaya menangguhkan perjalanan ke negara terjejas teruk dengan Covid-19 termasuk Eropah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2020 @ 12:06 PM