FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Rafidah Mat Ruzki


SERAMAI 131 rakyat Malaysia yang dilaporkan terkandas di Yaman sejak Mac lalu selamat tiba di tanah air dengan penerbangan sewaan khas, Egypt Air pada jam 8.34 pagi tadi.

Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar berkata, kumpulan kedua rakyat Malaysia yang terkandas di Yaman membabitkan 17 individu dijadual tiba dengan penerbangan komersial, Emirates pada jam 12.55 tengah malam ini.

"Perjalanan kesemua 148 rakyat Malaysia itu bermula dengan penerbangan dari Seiyoun, Yaman ke Kaherah, Mesir pada 1 Ogos sebelum meneruskan perjalanan dengan dua penerbangan berasingan ke Malaysia.

"Rakyat Malaysia dari Republik Yaman ini terdiri daripada pelajar persendirian yang menyatakan hasrat untuk pulang ekoran penularan pandemik Covid-19 serta pelajar yang tamat pengajian," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kamarudin berkata, sebelum ini, beberapa rancangan repatriasi oleh Kerajaan Malaysia untuk membawa pulang kumpulan pelajar terbabit terpaksa ditunda susulan isu logistik yang tidak dapat dielakkan.

Bagaimanapun, beliau berkata, pembukaan semula lapangan terbang dan penyambungan operasi penerbangan komersial oleh Kerajaan Yaman membolehkan penerbangan sewaan khas repatriasi dilaksanakan.

Katanya, kos repatriasi terbabit dibiayai secara bersama antara Kerajaan Malaysia dan penumpang yang rata-rata pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan.

"Lanjutan pengumuman Menteri Kanan Keselamatan pada 21 Julai 2020 mengenai prosedur kuarantin wajib selama 14 hari, kesemua rakyat Malaysia ini akan menjalani ujian saringan Covid-19 setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan seterusnya dibawa menjalani proses kuarantin di stesen kuarantin yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia untuk pemantauan lanjut.

"Kementerian Luar ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Republik Yaman dan Kedutaan Besar Malaysia di Muscat, Oman yang membantu dalam usaha kepulangan rakyat Malaysia ini ke tanah air.

"Pada masa sama, penghargaan turut dipanjangkan kepada Kerajaan Mesir atas kerjasama diberikan dalam menjayakan usaha repatriasi rakyat Malaysia itu," katanya.

Kamarudin berkata, Kementerian Luar melalui Perwakilan-Perwakilan Malaysia di luar negara akan meneruskan pemantauan situasi semasa serta bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam usaha memberi bantuan sewajarnya kepada rakyat Malaysia yang masih berada di luar negara.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2020 @ 6:57 PM