GAMBAR hiasan. FOTO Hazreen Mohamad
GAMBAR hiasan. FOTO Hazreen Mohamad
Zuhainy Zulkiffli


PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) mencadangkan kebenaran diberikan kepada kerja-kerja penyembelihan ayam di setiap pasar awam bagi menyelesaikan isu harga ayam.

Cadangan berkenaan menjadi antara langkah bagi menjimatkan kos pengangkutan, yang sering menjadi alasan penjual setiap kali timbul isu berkenaan.

Presidennya Mohideen Abdul Kader berkata, dalam tinjauan pihaknya mendapati peruncit mendakwa harga ayam terpaksa dinaikkan berikutan kos tambahan yang ditanggung di ladang penyembelihan.

Katanya, ia juga termasuk kos bagi mengangkut ayam yang sudah siap disembelih kepada peruncit dan penjual.

"Sekiranya penyembelihan ayam di ladang menyebabkan kenaikan harga maka pihak berkuasa berkaitan perlu mempertimbangkan cadangan (memberi kebenaran penyembelihan di pasar) ini.

"Justeru, CAP meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terus memeriksa kenaikan harga sama ada munasabah atau tidak," katanya.

Pada 18 Jun lalu, Harian Metro melaporkan KPDNHEP Pulau Pinang menerima aduan berhubung kenaikan harga ayam di negeri itu.

Ayam didakwa dijual pada harga RM2 hingga RM3 lebih tinggi berbanding RM7.50 sekilogram seperti ditetapkan.

Mohideen berkata, harga ayam standard itu menunjukkan peningkatan drastik antara RM1.50 hingga RM3.50 dalam masa seminggu, pada minggu ketiga bulan ini.

Katanya, ayam yang dijual juga didapati tidak memenuhi kehendak pengguna, lebih-lebih lagi pada harga tidak masuk akal.

"Harga yang dijual antara RM9 hingga RM11 sekilogram sedangkan pengguna dan pelanggan mendakwa kepingan ayam yang dijual di restoran pula semakin 'mengecil'.

"Justeru, CAP mendesak KPDNHEP bertindak mengatasi masalah ini dengan segera kerana ayam adalah sumber penting daripada daging putih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2020 @ 3:59 PM