Hazira Ahmad Zaidi


PEMBUKAAN kedai makan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei lalu menyebabkan jumlah permintaan ayam di Kelantan naik secara mendadak.

Pengarah KPDNHEP negeri Adnan Abd Rahman berkata, setakat Ahad lalu, sebanyak 14,528 premis termasuk pasar raya, peruncit dan pemborong ayam sudah diperiksa dengan 53 notis dikeluarkan kerana berlaku kenaikan harga.

Menurutnya, sebanyak 45 notis Pengesahan Maklumat dikeluarkan kepada peniaga bagi menjelaskan bahawa kenaikan harga disebabkan peningkatan kos atau berdepan tindakan tegas.

"Lapan lagi ialah Notis Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dikeluarkan kepada tiga peladang, lima pembekal dan 30 peruncit.

"Sekiranya peniaga sengaja atau gagal menunjukkan bukti munasabah kenaikan harga disebabkan peningkatan dalam kos, maka tindakan tegas akan diambil," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pemantauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) 2020 di AEON Mall, Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Negeri Kelantan, Saiful Adli Abu Bakar.

Adnan berkata, ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada fasa pertama dan kedua, jumlah permintaan ayam tidak banyak dan ada yang dijual serendah RM3 sekilogram.

"Bagaimanapun, semasa kerajaan mula melaksanakan PKPB, sudah banyak kedai makan yang dibuka dan dibenarkan beroperasi selain pengguna juga boleh keluar sekali gus menyebabkan harga ayam agak mahal sehingga ada yang dijual melebihi RM8 sekilogram.

"Semua peniaga mesti patuh dengan arahan yang dikeluarkan kerajaan iaitu menjual ayam standard tidak melebihi RM7.50 sekilogram dan ayam super pula tidak melebihi RM8.40 sekilogram.

"Pihak kami sentiasa menjalankan pemeriksaan secara proaktif ke atas semua peniaga dan penjual ayam di peringkat borong serta peruncit apabila berlaku kenaikan harga bagi mengekang pencatutan harga di pelbagai peringkat dan rantaian," katanya.

AZANIZAM Affendi Juri memeriksa ayam ketika meninjau senarai barangan harga terkawal ketika membuat lawatan sempena skim harga maksimun musim perayaan Hari Raya Aidilfitri di Pasaraya Aeon Mall. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
AZANIZAM Affendi Juri memeriksa ayam ketika meninjau senarai barangan harga terkawal ketika membuat lawatan sempena skim harga maksimun musim perayaan Hari Raya Aidilfitri di Pasaraya Aeon Mall. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 1:53 PM