FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Zuhainy Zulkiffli


PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) kesal apabila harga daun ketumbar, sup dan saderi meningkat secara mendadak di negeri ini.

Presidennya Mohideen Abdul Kadeer berkata, daun ketumbar diimport dari Thailand didapati dijual pada harga RM22 sekilogram berbanding RM10, tiga minggu lalu.

Menurutnya, tinjauan CAP di pasar awam, semalam juga mendapati harga daun ketumbar sudah meningkat kepada RM50 sekilogram pada minggu ini.

"Ia adalah lima kali ganda daripada harga biasa, malah harga daun ketumbar tempatan juga meningkat sekali ganda iaitu daripada RM20 sekilogram kepada RM47 sekilogram.

"Permintaan daun ketumbar dari Thailand amat tinggi terutama ketika Ramadan ini disebabkan lebih wangi berbanding keluaran tempatan, tetapi kenaikan harga mendadak amat melampau," katanya.

Menurutnya, pihaknya berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil tindakan segera terhadap peniaga yang menaikkan harga terlampau tinggi.

"CAP ingin menasihati orang ramai supaya menjadi pengguna bijak atau menanam sendiri sayuran di rumah.

"Ia tidak memerlukan ruang yang luas iaitu hanya menggunakan kotak atau pasu bunga selain mudah untuk dijaga," katanya.

Difahamkan, harga daun sup juga meningkat daripada RM4 sekilogram kepada RM10 sekilogram.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2020 @ 5:21 PM