Sulaiman Md Ali bertanya sesuatu kepada peniaga di Pasar Awam Masjid Tanah dekat Alor Gajah. FOTO Hassan Omar
Sulaiman Md Ali bertanya sesuatu kepada peniaga di Pasar Awam Masjid Tanah dekat Alor Gajah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


KERAJAAN Melaka meluluskan 100 lokasi tapak baharu pasar pagi, pasar terbuka, pasar malam dan bazaria sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mulai Isnin lalu hingga 31 Ogos depan.

Bagaimanapun, Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali mengingatkan peniaga dan pengguna supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri bersama pihak berkuasa tempatan (PBT), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM memperhalusi dan mengeluarkan SOP pembukaan pasar berkenaan.

"PBT sudah mengenal pasti dan membuat pemilihan penganjur yang mendapat pertimbangan Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) sebelum meluluskan permohonan penganjur," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, PBT mengenal pasti 21 lokasi pasar malam yang mula beroperasi hari ini dan lokasi tambahan yang akan diselaraskan berdasarkan kesesuaian SOP yang harus dipatuhi penganjur.

Sehubungan itu, beliau berharap peniaga memperoleh keuntungan dan membantu merancakkan semula ekonomi negeri yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Lokasi pasar malam mengikut pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) ialah Taman Datin Fatimah, Bukit Rambai; Taman Desa Molek dan Taman Harta Pertama, Ayer Molek.

Pasar malam di bawah Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) ialah Taman Sungai Batu Ilir Jaya, Kuala Linggi; Taman Bandar Baru, Masjid Tanah; Pusat Perniagaan Lubok China, Lubok Cina; Taman Sri Aman, Masjid Tanah; Pekan Gadek, Alor Gajah; Taman Baiduri Pulau Sebang, Alor Gajah dan Pekan Durian Tunggal, Alor Gajah.

Selain itu, pasar malam di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) ialah Taman Kesang Damai, Jasin; Taman Maju, Jasin; Taman Bandar Baru Merlimau, Merlimau; Bandar Jasin Bestari, Jasin dan Taman Muhibah, Jasin.

Pasar malam di bawah Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) ialah Taman Ayer Keroh Heights, Ayer Keroh dan Kampung Tun Razak, Bukit Katil.

Pasar pagi di bawah MPHTJ ialah Taman Melaka Baru, Taman Bukit Melaka dan Taman Ayer Keroh Heights.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 2:01 PM