FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Nurul Fhatihah Zakinan


KERAJAAN Melaka bersetuju memberi pengurangan kadar sewa sehingga 50 peratus pada bulan Mei kepada 2,226 pengusaha gerai makan di bawah kendalian semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, kesemua gerai itu meliputi empat kawasan PBT iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

“Langkah ini dibuat bagi meringankan beban pengusaha yang tidak menjalankan operasi pada waktu siang pada bulan Ramadan.

“Langkah ini juga termasuk kepada pengusaha bukan Islam,” katanya pada sidang media mesyuarat EXCO, di Seri Negeri, di Melaka, hari ini.

Sementara itu, Adly berkata, kerajaan negeri sedang menyemak polisi dan syarat pengiklanan di peringkat PBT berhubung perkataan singkatan Bahasa Inggeris, ’KTHXBYE’ dan maskot biru Selamat Datang Ke Kampung Saya di papan iklan yang dipasang di jejantas di laluan utama, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), berhampiran Masjid Al-Azim, di Peringgit.

Katanya, dia tidak menolak jika ia berkaitan kreativiti mempromosi produk yang dijenamakan semula oleh syarikat pengeluar makanan ringan di lokasi itu, namun jika ia berbentuk slogan semata-mata perkara itu perlu dikaji semula.

“Sebagai contoh, singkatan perkataan antara model pengiklanan moden yang hanya difahami generasi muda, namun bukan keseluruhan.

“Justeru, kita akan lihat semula polisi, bagaimana permohonan itu dibuat, dan adakah mendapat kebenaran (PBT dan Dewan Bahasa dan Pustaka),” katanya menambah penggunaan bahasa atau perkataan jelas dan betul penting kerana ia memberi kesan kepada imej Melaka sebagai negeri pelancongan.

Gambar yang memaparkan penggunaan singkatan perkataan serta maskot dimuat naik di laman sosial itu tular di Facebook, dan mendapat kecaman netizen antaranya bahasa itu hanya difahami oleh pengguna ‘WeChat’ yang didakwa merosakkan bahasa kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 12:55 PM