Menara Jam di bangunan Stadthuys, Bandar Hilir. FOTO BERNAMA
Menara Jam di bangunan Stadthuys, Bandar Hilir. FOTO BERNAMA

KERAJAAN Negeri sedang merangka untuk mewujudkan koridor ekonomi baharu dan pelaburan berimpak tinggi yang akan dinamakan sebagai Melaka Waterfront Economic Zone atau M-Wez bernilai kira-kira RM100 bilion.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, mercu tanda baharu ekonomi negeri itu akan dilaksanakan melalui inisiatif swasta dan kerajaan meliputi kawasan tambakan pesisir pantai sejauh 20 kilometer.

"Pembangunan M-Wez akan membabitkan kawasan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) sebagai hab perkhidmatan industri minyak dan gas, Pelabuhan Tanjung Bruas sebagai hab pelabuhan kontena dan Melaka Gateway sebagai hab Terminal Kapal Persiaran Antarabangsa Melaka (MICT).

"Selain itu, kita juga akan memiliki stesen hentian perkhidmatan bagi Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, sekali gus merancakkan kemajuan ekonomi di sekitar koridor itu," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Melakaku Maju Jaya di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, semalam.

Menurutnya, M-Wez antara projek pembangunan yang dirangka melalui Pelan Pembangunan Komprehensif Hala Tuju Melaka Lestari melalui tiga fasa iaitu pelan jangka pendek, sederhana dan panjang bermula 2020 sehingga 2035.

Sementara itu, Sulaiman berkata, kerajaan negeri menyasar menjadi negeri pertama yang semua Pihak Berkuasa Tempatannya (PBT) dianugerahkan Bandar Paling Bahagia di negara ini.

Katanya, sebelum ini PBT bagi bandar raya Melaka dan Jasin serta Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) memperoleh status berkenaan dan kini kerajaan negeri berharap Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) mengikut langkah sama.

Melaka mempunyai empat PBT iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), MPHTJ dan MPAG.

Pada 3 Jun lalu, Bernama melaporkan bandar raya Melaka dan Jasin diiktiraf sebagai antara 10 Bandar Paling Bahagia di Malaysia pada 2019 sempena Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia 2020.

Keputusan itu berdasarkan Kajian Indeks Kebahagiaan Malaysia 2019 yang dijalankan oleh PLANMalaysia atau Jabatan Perancangan Bandar dan Desa. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2020 @ 6:05 AM