GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Melaka: Kerajaan Negeri Melaka menyediakan 13 lokasi pintu masuk ke negeri ini untuk dijadikan Gerbang Pantun bagi menyambut kehadiran pelancong dan pengunjung sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata 13 lokasi itu berada di tiga kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT), iaitu Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).

"Di MPHTJ, Gerbang Pantun terletak di persimpangan masuk Padang Keladi-Ayer Keroh manakala di MPAG membabitkan bulatan Simpang Ampat, jambatan Kuala Linggi, bulatan Lubok China, persimpangan Tebong, persimpangan Kendong, persimpangan Kuala Ina dan Pulau Sebang.

"Di MPJ pula, ia melibatkan Bandar Jasin Bestari, tol Jasin, Pekan Umbai, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di Sungai Rambai, Asahan dan Simpang Bekoh," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Leng Chau Yen (PH-Banda Hilir) yang ingin tahu lokasi yang akan didirikan Gerbang Pantun di Melaka.

Menjawab soalan tambahan dikemukakan Leng berkaitan penghasilan buku pantun untuk tatapan generasi masa depan, Ab Rauf berkata Institut Tun Perak (ITP) sedang berada di peringkat akhir untuk penerbitan buku itu.

Beliau berkata kerajaan negeri juga mewujudkan laman sesawang Gerbang Pantun Melaka yang menyimpan koleksi pantun dihasilkan daripada negeri ini menerusi pertandingan-pertandingan yang dianjurkan di peringkat kampung, sekolah dan jabatan kerajaan.

Ab Rauf berkata penghasilan pantun juga mendapat sambutan menggalakkan daripada kalangan masyarakat bukan Melayu menerusi pertandingan yang dianjurkan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2024 @ 12:01 PM