ANGGOTA bomba membuka pintu kereta menggunakan peralatan khas. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba membuka pintu kereta menggunakan peralatan khas. FOTO Ihsan Bomba
Adnan Ibrahim


TINDAKAN pantas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya menyelamatkan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang terperangkap dalam kereta di Bandar Sri Impian, Kluang, hari ini.

Kanak-kanak itu terkunci ketika ditinggalkan ibunya yang turun untuk membeli barang di kedai berhampiran petang tadi.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat ( BBP) Kluang, Pegawai Bomba Kanan II, Azmi Mohd Bani berkata tujuh anggota bersama sebuah jentera FRT dan satu unit RIM dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan 3.04 petang.

Menurutnya, ketika kejadian ibu mangsa keluar ke kedai berhampiran dengan meninggalkan mangsa dalam kereta dengan keadaan enjin dimatikan.

"Sebaik kembali semula ke kereta, ibu mangsa mendapati ia dikunci namun tidak boleh membukanya semula sebelum bomba dipanggil bagi membantu mengeluarkan kanak-kanak itu.

"Pihak bomba membuka pintu kereta menggunakan peralatan khas dalam tempoh tiga minit dan dimaklumkan mangsa sudah terperangkap hampir 10 minit. Operasi tamat 3.20 petang dan mangsa selamat diserahkan kepada keluarga," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2020 @ 6:38 PM