Foto hiasan
Foto hiasan
BERNAMA

KANAK-KANAK lelaki berusia enam tahun terperangkap kira-kira 30 minit dalam sebuah kereta selepas kenderaan itu terkunci ketika ibunya keluar ke rumah jiran di Jalan Bali 2/5, Bandar Baru Uda (BBU) di Johor Bahru petang hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Larkin Ahmad Nazran Omar berkata, kejadian berlaku pada 6 petang ketika mangsa ditinggalkan berseorangan dalam keadaan enjin kereta dihidupkan kerana sedang tidur.

Menurutnya, sebaik ibunya kembali ke kereta berkenaan selepas menemui jirannya didapati pintu kereta sudah terkunci secara automatik.

"Orang awam cuba membantu dengan mengetuk cermin kereta bagi menyedarkan mangsa namun tidak berjaya, menyebabkan ibunya terus menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Nazran berkata, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan pada 6.21 petang menghantar masing-masing satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) bersama dua unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dengan 11 keanggotaan ke lokasi untuk kerja menyelamat.

"Anggota bomba hanya mengambil masa kurang daripada lima minit untuk membuka kenderaan menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan kanak-kanak terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 10:59 PM