Hazira Ahmad Zaidi


"MAK cik akur haji ditangguhkan dan pada masa bersyukur memandangkan pandemik Covid-19 ini berbahaya dan berisiko tinggi kepada pesakit kronik," kata warga emas, Siti Zainab Daud, hari ini.

Siti Zainab, 66, berkata, dia menghidap penyakit saraf, strok ringan, kencing manis dan darah tinggi manakala suaminya, Ramli Abas, 71, yang juga pesara polis mempunyai penyakit buah pinggang, gout serta masalah prostat.

Katanya, disebabkan penyakit kronik dihidapi mereka, dia akur selepas kerajaan membuat keputusan untuk menangguhkan penghantaran jemaah haji Malaysia pada tahun ini berikutan penularan Covid-19.

"Mak cik mengetahui mengenai penangguhan ini selepas dihubungi anak ketiga, Amran Ramli, 42, yang tinggal di Cheras, Kuala Lumpur dan sudah menjangkakan hal ini disebabkan beberapa negara lain seperti Singapura, Brunei dan Thailand tidak menghantar jemaah mereka ke Tanah Suci.

"Insya-Allah, jika dipanjangkan umur dan diberikan kesihatan baik, kami berdoa supaya Allah SWT mengizinkan kami menunaikan haji pada tahun hadapan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Permatang Piah, Pak Badol, Kota Bharu, hari ini.

Siti Zainab bersama suaminya, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Permatang Piah, Pak Badol.
Siti Zainab bersama suaminya, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Permatang Piah, Pak Badol.

Ibu kepada empat anak ini berkata, dia dan suaminya menunaikan ibadat haji pertama pada 2000 dan pada 2003 mereka sekali lagi mendaftar untuk menunaikan ibadat haji kali kedua.

Katanya, pada 2007, nama mereka tersenarai untuk menunaikan ibadat haji, namun terpaksa ditangguhkan kerana pada ketika itu berhadapan dengan masalah kesihatan selain tidak mempunyai pengiring.

"Pada 2012, 2015, dan 2017 nama kami sekali lagi tersenarai, namun terpaksa ditangguhkan dan kami ke pejabat Tabung Haji untuk menjelaskan situasi dihadapi pada ketika itu.

"Kami dibenarkan membuat penangguhan dan memberi peluang kepada jemaah lain untuk menunaikan ibadat haji.

"Pada tahun ini, mak cik dan pak cik mendapat panggilan haji, namun disebabkan pandemik Covid-19, ia terpaksa ditangguhkan dan pada masa berharap rayuan anak sulung, Rozan Ramli, 46, yang akan menjadi pengiring kami sepanjang menunaikan haji dapat diluluskan," katanya.

Siti Zainab berkata, semua persiapan untuk menyempurnakan ibadat haji sudah disediakan termasuk menghadiri kursus haji.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2020 @ 4:30 PM