Rahlah (tengah) bersama anak dan menantu terpilih mengerjakan haji tahun ini. FOTO Mohamad Hussin
Rahlah (tengah) bersama anak dan menantu terpilih mengerjakan haji tahun ini. FOTO Mohamad Hussin
Mohamad Hussin


“MAK CIK dapat tahu senarai nama panggilan haji menerusi aplikasi Whatapps yang ditular Mei lalu.

“Mujur penduduk kampung yang mengenali nama dan alamat rumah datang beritahu nama mak cik terpilih,” kata Rahlah Muhamad, 66, dari Taiping, Perak.

Katanya, nombor telefon rumah yang didaftarkan 10 tahun lalu sudah tidak digunakan lagi menyebabkan Lembaga Tabung Haji (TH) sukar menghubunginya.

“Syukur alhamdulillah, mak cik dapat tahu nama terpilih termasuk empat lagi penduduk kampung mengerjakan haji tahun ini menerusi kumpulan Whatapps yang ditularkan.

“Ada datang rumah dan juga telefon mak cik beritahu nama tersenarai untuk mengerjakan haji tahun ini.

“Bagi mendapatkan kepastian, mak cik pergi ke Pejabat Cawangan TH di Taiping dan mereka beritahu nama mak cik terpilih,” katanya ketika ditemui di Kompleks TH, Sepang hari ini.

Rahlah yang mengidap penyakit jantung bengkak sebelah sejak empat tahun lalu menunaikan haji bersama anak, Dr Nur Fadilah Mohd Mokhtar, 33, dan menantu Mohammad Farhan Shazne Zaine, 33.

“Saya mendaftar dengan TH sejak 2008 dan membuat rayuan tujuh kali. Mungkin belum ada rezeki mak cik masa itu dan Allah SWT bagi peluang tahun ini.

“Perasaan mak cik gembira dan sedih kerana penantian lama akhirnya dijemput ke Tanah Suci bersama anak dan menantu.

“Persediaan sebelum mengadap Ilahi perlu banyak berzikir dan berdoa semoga dipermudahkan urusan di sana,” katanya yang menjalani kursus haji sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, dia terpaksa menggunakan kerusi roda kerana kaki kirinya mudah bengkak jika tidak mengambil ubat sakit jantung dan darah tinggi.

Sementara itu, bagi pasangan Kamaruzzaman Ramli, 74, dan Zariah Deris, 65, dari Kampung Jenalik, Kuala Kangsar, Perak mereka pertama kali menjadi tetamu Allah SWT.

Katanya, dia dan isteri mendaftar dengan TH sejak 2009 serta menerima tawaran mengerjakan haji seminggu selepas umat Islam menyambut Aidilfitri, Jun lalu.

“Pada 1975 pak cik dan mak cik jual ikan di sekitar pekan Kuala Kangsar dan duit hasil jualan ikan kami buka kedai runcit di kampung.

“Alhamdulilah, dapatlah simpan duit pergi haji dan 10 anak juga ada bagi duit cukup untuk bekalan kami di sana.

“Selain itu, hasil kebun getah seluas 3.2 hektar juga dapatlah menyimpan dalam TH,” katanya yang tidak sabar menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 4:38 PM