JEMAAH bersiap sedia untuk solat Jumaat. FOTO MOHD ROJI KAWI
JEMAAH bersiap sedia untuk solat Jumaat. FOTO MOHD ROJI KAWI
Mohd Roji Kawi


SEAWAL jam 11 pagi, orang ramai hadir ke Masjid Darul Sakinah, Kampung Sinar Budi Baru, di Batu Kawa, Kuching teruja untuk solat Jumaat selepas diberi kebenaran untuk menambah jumlah jemaah.

Tinjauan mendapati jemaah sudah berada di masjid berkenaan seawal 11 pagi walaupun waktu Zohor di Kuching pada 12.42 tengah hari.

Ia berikutan jumlah jemaah yang dibenarkan di masjid berkenaan hanya 40 orang sahaja dan pengurusan masjid menggunakan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) untuk membantu memastikan jemaah mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Setiap jemaah pula diwajibkan memakai pelitup muka dan ahli jawatankuasa masjid memeriksa suhu badan setiap jemaah yang tiba selain mencatatkan maklumat peribadi mereka.

Jarak setiap jemaah di dalam masjid juga ditetapkan satu meter sebagai menepati prosedur operasi standard yang ditetapkan Lembaga Fatwa Negeri Sarawak dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

Ia adalah pertama kali dalam tempoh tiga bulan, seramai 40 hingga 100 jemaah dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat di 406 masjid dan surau di seluruh Sarawak, hari ini.

Keputusan penambahan jumlah jemaah itu diumumkan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha, minggu lalu.

Solat Jumaat dibenarkan di Sarawak sejak 22 Mei lalu, bagaimanapun ketika itu jumlah jemaah dihadkan antara empat hingga 12 orang sahaja.

Mulai hari ini jumlah jemaah ditambah dengan Masjid Jamek Negeri di Petra Jaya, dibenarkan seramai 100 orang untuk solat Jumaat manakala 40 orang untuk solat fardhu.

Bagi masjid bahagian, daerah dan daerah kecil pula, jemaah solat Jumaat yang dibenarkan ialah seramai 50 orang dan solat fardhu seramai 40 orang.

Masjid kariah dan surau pula, seramai 40 orang dibenarkan untuk solat Jumaat dan 40 orang juga untuk berjemaah solat fardhu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2020 @ 2:40 PM