GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Amin Jalil

WALAUPUN kes membabitkan pemanduan di bawah pengaruh alkohol di Negeri Sembilan menunjukkan sedikit menurun, namun ia masih dalam keadaan membimbangkan kerana terdapat kes berkenaan yang membawa kepada kematian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan Superintendan Ibrahim Abdul Kadir berkata, terdapat 20 kes pemandu di bawah alkohol direkodkan bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini berbanding 24 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, terdapat satu kes yang membawa kepada kematian.

"Dua kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menyebabkan kemalangan dan 18 lagi disiasat mengikut Seksyen 45(1) APJ 1987.

"Tahun lalu, seramai 24 individu ditahan bagi kesalahan sama dan satu daripadanya disiasat mengikut Seksyen 44(1) APJ 1987 dan 23 lagi dituduh di bawah Seksyen 45(1) APJ 1987," katanya.

Ibrahim berkata, polis akan terus mempertingkatkan lagi Ops Mabuk di seluruh negeri ini untuk memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang demi keselamatan orang lain.

Sementara itu, dalam Ops Mabuk yang dijalankan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Balai Polis Nilai di sekitar pekan Nilai, semalam, seorang lelaki yang memandu di bawah pengaruh alkohol ditahan.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Noor Marzukee Besar berkata, anggota pasukan itu membuat pemeriksaan dan ujian pernafasan terhadap pemandu terbabit.

"Lelaki berusia 39 tahun itu yang memandu pacuan empat roda dilihat dalam keadaan mencurigakan dan melalui ujian pernafasan menunjukkan dia memandu dalam keadaan dipengaruhi alkohol.

"Lelaki terbabit kemudian dibawa ke Balai Trafik Nilai untuk ujian selanjutnya dan hasil ujian itu didapati bacaan alkohol adalah 138mg/100ml iaitu melebihi daripada paras yang ditetapkan.

"Suspek ditahan di bawah Seksyen 45A(1) APJ 1987 untuk tindakan lanjut dan dalam operasi itu, sebanyak 24 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 9:01 PM