AMINUDDIN HARUN
AMINUDDIN HARUN
Mohd Amin Jalil


NEGERI Sembilan akan memulakan percubaan solat Jumaat di lapan masjid di seluruh negeri bermula pada Jumaat ini, menggunakan prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, percubaan itu akan membabitkan lapan masjid ditetapkan dan hanya jemaah yang mempunyai kod QR sahaja dibenarkan masuk ke dalam masjid.

Katanya, terdapat empat masjid di Seremban manakala masing-masing satu masjid di Jelebu, Port Dickson, Jempol dan Tampin.

"Jemaah perlu mempunyai kod QR yang boleh diperoleh dan dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) selain perlu berumur antara 20 hingga 60 tahun.

"Jemaah yang mendapat kebenaran akan diminta menunjukkan kod QR itu sama ada menerusi telefon bimbit atau salinan kepada pegawai masjid yang bertugas sebelum dibenarkan masuk ke dalam masjid," katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO di Bilik Gerakan Wisma Negeri, di Seremban, hari ini.

Aminuddin berkata, jemaah perlu mematuhi peraturan ketat termasuk membawa sejadah sendiri, tidak dibenarkan mengambil wuduk di masjid dan perlu datang awal kerana pintu masuk masjid akan ditutup sebaik muazzin melaungkan azan.

Beliau berkata, pegawai masjid akan menentukan kedudukan setiap jemaah dan mereka perlu mematuhi arahan itu, sekali gus tidak boleh sesuka hati untuk berada dalam masjid mengikut pilihan sendiri.

"Selain itu, ahli jemaah tidak dibenarkan bersalaman antara satu sama lain, sebaliknya diminta terus beredar keluar sebaik selesai solat.

"Berdasarkan SOP berkenaan, pegawai masjid akan menggunakan teks Jumaat ringkas dan hanya menepati syarat wajib solat Jumaat," katanya.

Mengenai jumlah ahli jemaah dibenarkan, Aminuddin berkata, ia bergantung kepada keluasan ruang solat utama bagi sesebuah masjid dan sebagai contoh Masjid Negeri di Seremban mungkin sekitar 300 jemaah akan dibenarkan.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan mereka yang kurang sihat dan berstatus warga usia emas tidak digalakkan hadir sebagai langkah berjaga-jaga dalam usaha menyekat penularan wabak Covid-19.

Menurutnya, ini adalah satu percubaan dan jika jemaah dapat mematuhi disiplin seperti ditetapkan MKN, ia akan diperluaskan ke masjid lain pada masa depan.

"Saya berharap masyarakat Islam dapat memberikan kerjasama kerana kita tidak mahu kes positif Covid-19 yang berlaku di Juasseh Kuala Pilah, baru-baru ini menular dalam kalangan jemaah di masjid.

"Empat masjid di Seremban untuk percubaan solat Jumaat itu membabitkan Masjid Negeri, Masjid At-Taqwa Kampung Paroi, Masjid Kariah Taman Paroi Jaya dan Masjid Dato Klana Petra Lela Mohd Yusof Sikamat.

"Selain itu, Masjid Kariah Bunga Tanjong Kuala Klawang di Jelebu, Masjid Jamek Port Dickson, Masjid Gemas di Tampin dan Masjid Tuanku Muhriz di Jempol," katanya.

Beliau berkata, masjid yang sebelum ini dibenarkan melaksanakan solat Jumaat dengan bilangan maksimum 12 jemaah tidak terbabit dengan percubaan itu dan boleh meneruskan solat seperti biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 7:04 PM