GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


MANGSA Macau Scam ini tidak berumahtangga dan kurang berbelanja, malah memiliki simpanan yang lumayan, namun dia turut ditipu sindiket terbabit yang menyebabkan kerugian RM682,000.

Itu keadaan yang berlaku terhadap wanita warga emas itu yang dulunya berkhidmat sebagai pegawai kewangan di Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) .

Menurut sumber, selepas wanita berusia 69 tahun itu bersara dia melabur dan menyimpan semua wang persaraannya di dalam satu akaun tetap tanpa mengusik serta menggunakannya untuk tujuan yang lain.

"Mangsa tidak mempunyai suami dan anak kerana tidak berumahtangga bahkan dia kurang berbelanja menyebabkan wang simpanannya banyak lalu menjadi sasaran penjenayah di alam maya," katanya di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor melaporkan wanita itu datang membuat laporan polis selepas hampir tiga bulan dirinya terperangkap dengan sindiket itu.

"Wanita berkenaan menerima panggilan telefon mendakwa dirinya terbabit dengan jenayah judi haram secara atas talian pada Mac lalu dan diminta sentiasa mengangkat panggilan daripada pegawai bank negara setiap hari dan memberikan nombor TAC yang dihantar ke telefon bimbitnya sehingga perkara itu berlarutan sekitar 27 Mei lalu.

"Mangsa akhirnya sedar ditipu selepas dia tidak lagi menerima panggilan telefon daripada pegawai bank berkenaan dan ketika membuat semakan akaun dia terkejut apabila mendapati terdapat pemindahan wang sedikit demi sedikit yang secara keseluruhannya berjumlah RM682,000," katanya.

Sehingga kini, sebanyak 104 kes penipuan membabitkan kerugian RM3,699,335.28 direkodkan di daerah itu bagi pertengahan tahun ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 26 kes membabitkan kerugian RM1,670,936.74 adalah berkaitan penipuan sindiket Phone Scam.

Walaupun berkali-kali nasihat diberikan polis namun orang awam masih tidak mempunyai kesedaran berhubung kes penipuan yang dilihat semakin berleluasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 5:11 PM